Jumat, 12 September 2008

Sukatan Pelajaran Biologi Sekolah Menengah

Selaras dengan matlamat dan objektif mata pelajaran Biologi, kandungan mata pelajaran ini memberi penekanan kepada pemahamam pengetahuan biologi yang kemas kini dan aplikasinya dalam kehidupan harian. Dengan itu, pelajar mampu menghadapi dunia yang kian berorientasikan maklumat dan teknologi. Melalui kajian biologi juga, pelajar memahami akan bertanggungjawabnya sebagai pengurus alam demi keharmonian dan kesejahteraan hidupan sejagat.

Mata pelajaran Biologi ini memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran saintifik yang meliputi kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif. Dalam mempertingkatkan kemahiran proses sains, pelajar akan dilibatkan dengan kemahiran mengenal pasti masalah, membuat hipotesis, merancang dan menjalankan kajian, mentafsir data dan maklumat, membuat inferens dan membuat keputusan. Dalam merancang dan menjalankan kajian amali, tumpuan diberi terhadap kemahiran membuat pemerhatian, perekodan, pengelasan data dan persembahan maklumat. Penguasaan kemahiran manipulatif melibatkan pelajar dalam pengendalian spesimen, radas makmal dan bahan kimia dengan teknik yang betul dan selamat. Penguasaan kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif membolehkan pelajar mempertingkatkan lagi kemahiran pelajar dalam mengendalikan maklumat dan menyelesaikan masalah.

Biologi merupakan satu bidang keilmuan yang dinamik dan banyak menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan negara. Oleh itu, penggunaan pengetahuan biologi hendaklah berlandaskan sikap dan nilai murni agar dapat melahirkan insan yang bertanggungjawab dan bijaksana dalam membangunkan masyarakat dan negara. Sikap dan nilai murni yang ingin dipupuk ialah seperti hormat-menghormati, kejujuran, kerajinan dan bekerjasama, manakala nilai intrinsik seperti bersemangat ingin tahu, berfikiran terbuka, gigih bersikap objektif dalam segala usaha, juga ditekankan. Di samping itu, sumbangan biologi terhadap kemajuan dalam bidang perubatan, pertanian dan perindustrian hendaklah dihargai.

Tidak ada komentar: